Cinta Antara Kita: Bagaimana Kisah Kita Bermula
![]() |
| Julai 2010, Floria Putrajaya. Membantu adikku Musfirah menyiapkan projeknya dengan menjadi jurugambar tidak bertauliah. Angkut Amirul sama-sama. Hoho. Zaman jahiliah kami. |
Assalamualaikum semua, apa khabar? Semoga kalian semua sihat walafiat di samping keluarga tercinta. Hari ni hari Sabtu, 16 Mei 2015 bersamaan dengan 27 Rejab 1436. Selain kita menyambut Hari Guru pada tanggal hari ni, tarikh ini juga merupakan peristiwa Isra' Mikraj. Beberapa hari je lagi masuknya bulan Syaaban. Cepat betul masa berlalu, betul tak? Ini merupakan salah satu tanda-tanda akhir zaman... Kiamat sudah dekat, tapi apakah amalan kita semakin meningkat? Sama-samalah kita muhasabah diri...
Baiklah tiba-tiba hari ni aku rasa nak berjiwang-jiwang sikit, nak tulis pasal suamiku yang kucintai. 'Font' pun aku saja tukar, ubah 'mood' sekali-sekala. Hehehe.
Suamiku ialah Muhammad Amirul Azreen bin Mohd Azmi. Panjang sungguh namanya, ada 20 huruf. Nama aku senang, lapan huruf je, selesai. Hehehe. Orangnya tinggi (dan juga buncit sekarang ni, haha), kacak, dan berkulit gelap; dalam kata lain - 'tall', 'dark', and 'handsome'. Hihihi. Aku kenal Amirul semenjak kami di tadika lagi. Ye betul tu. Mak merupakan seorang pemilik tadika bernama Early Learning Centre (ELC) suatu ketika dahulu. Ada dua cawangan ELC yang aku tau iaitu di Kampung Melayu Ampang, dan di Keramat. Aku dan Amirul ni kira tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama, dan ELC merupakan pusat pendidikan awal kami. Jujurnya aku tak ingat pun yang kami pernah mengenali satu sama lain di tadika sehinggalah aku jumpa semula dengannya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Ahmad Razali (SMKDAR) pada tahun 2004.
Selepas tamat pendidikan awal di tadika tu, aku langsung tak tahu menahu pasal Amirul sebab dia tidak bersekolah di Sekolah Kebangsaan Ampang. Kami terputus hubungan. Yelah lagipun siapa je yang ingat betul-betul memori di tadika, ye tak? Pada tahun 1998, kami sekeluarga berpindah ke rumah baru yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah lama. Untuk pengetahuan kalian, rumah lama terletak hanya bersebelahan dengan tadika ELC tu.
Tak tahu. Aku tak tahu apa-apa tentang Amirul selepas tinggalkan ELC, dan selepas tamat sekolah rendah. Tahun 2002 aku bersekolah di Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Raub, untuk setahun sahaja. Dua tahun kemudian aku bersekolah di SMKDAR. Pada tahun 2004 aku bertemu semula dengan Amirul buat pertama kali di sini. Apabila melihat wajahnya, barulah aku 'flashback' tentang memori kami di tadika. Namun itupun sekadar permukaan je.
Amirul berada dalam kelas 3 Gigih, manakala aku pula di kelas 3 Amanah. Setelah 10 tahun tak ketemu, aku memang hanya menganggap dia sebagai kenalan biasa jelah. Walhal aku sebenarnya tak ingat yang kami pernah menangkap belalang di belakang tadika bersama-sama dahulu dan Amirul kerap mencari aku di rumah lama dan mengajakku bermain-main di belakang tadika. Amirul sendirilah yang mengingatkan aku tentang semua ni apabila kami dah 'steady'.
Yaya sahabat baikku berada dalam kelas yang sama dengan Amirul. Semasa hari lahirku, Amirul meminta jasa baik Yaya untuk sampaikan kad hari lahir kepada aku. Yang kelakarnya, Amirul terlalu segan sehinggakan ucapan yang ditulis dalam kad itupun tulisan Yaya. Macam tu pun boleh eh? Hahaha. Tapi kenapa dia bagi kad tu? Sebab kami pernah tadika sama-sama ke? Rasanya alasan tu tak cukup kukuh. "Dia suka aku agaknya," fikirku. Namun aku jual mahal terhadapnya sebab aku sedang sibuk menyukai rakan sekelas aku. Maaf ye Amirul? Hehehe.
Apabila pulang dari sekolah ke rumah, aku akan balik dengan Yaya dan beberapa kawan lain yang tinggal berdekatan. Kami akan berpisah di simpang yang berkenaan. Namun pada tahun 2004 keadaan berbeza sedikit apabila ada seorang lelaki akan mengikuti kami dari belakang. Siapa dia tu? Ha cuba teka. Amirul!! Aku pelik juga, dia ni memang saja-saja ikut kami ke apa? Rumah dia dekat-dekat sini ke? Dia ikut aku sampai ke depan rumah aku, tapi tak lah masuk ke rumah kan? Dia sambung berjalan hingga masuk ke laman rumah jiran aku, dan terus lenyap. Banyak kali juga perkara ini berlaku. Kadang-kadang aku rasa seram sejuk gitu. Dia nak marah aku sebab aku tak layan dia ke? Hohoho. Lama kemudian barulah aku tau yang rumah ibu bapa Amirul terletak di belakang rumah aku, dan dia menggunakan 'shortcut' di rumah jiran aku untuk tembus ke rumahnya.
Maka hilanglah segala pemikiran aku yang karut sebelum ni. Rupanya dia ni jiran aku. Tak ada maknanya dia nak ikut aku semata-mata suka kat aku. Perasan je aku ni. Kuikuikui. Begitu sahajalah kisah bagaimana kami bertemu semula di SMKDAR, dan aku dapat tahu bahawa kami sebenarnya berjiran. Tahun depannya, kami masing-masing berpindah sekolah. Aku pergi ke Sekolah Menengah Teknik Gombak (SMTG), Amirul pula ke Sekolah Menengah Teknik Sungai Buloh.
SMTG pernah menjadi tuan rumah untuk pertandingan nasyid antara sekolah menengah teknik di Selangor kalau tak salah aku. Amirul mewakili sekolahnya dalam pertandingan ini. Semasa dia datang ke SMTG, dia ada mencari aku tetapi aku tidak hadir ke sekolah pada masa tersebut. Atiqah memaklumkan hal ini kepada aku. Atiqah juga merupakan sahabat baikku dan dia, Yaya, dan Amirul berada dalam kelas 3 Gigih di SMKDAR.
Tamat sekolah menengah, aku bekerja di 7 Eleven Ampang Point. Amirul pernah datang ke situ beberapa kali semata-mata nak tengok aku. Hahaha. Bulan Julai 2007, aku ke Kuantan manakala Amirul ke Port Dickson untuk mengikuti program Diploma masing-masing. Amirul mendapatkan nombor telefon aku daripada Yaya. Dia mula menghubungi aku dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS), dan kadang-kadang ada juga telefon. Saat ini bermulalah kami saling menghubungi antara satu sama lain... Pada tanggal 25 Ogos 2007, kami pertama kali keluar bersama-sama dengan ditemani adikku Musfirah. Kami ke One Utama kalau tak salah aku. Amirul memandu kereta Gen 2 milik mamanya.
Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, kami bersembang-sembang dan tiba-tiba, Amirul kata, "Lepas ni jumpa nak gi mana pula?" Aku terkedu sekejap waktu tu. Adik jawab, "Wow...dah tanya nak ke mana lepas ni. Pandai ni." Aku diam dan senyum je.
Itulah kali pertama kami keluar bersama-sama. Aku tak ingat kami buat apa di sana. Rasanya macam pergi makan dan pusing-pusing je. Makan pun di 'food court'. Hahaha. Panjang lagi kisah kami ni. Aku sambung dalam 'post' seterusnya ok?
Tata, assalamualaikum.
Love,
Nusaybah.
nu%3D4686)%2B84)255)WSNRCG%3D333358%3B359346nu0mrj.jpg)
Comments
Post a Comment