Lesen Memandu Bahagian 1: Gagal



Assalamualaikum wrt wbt. 
Tajuk di atas merupakan satu topik penting dalam kehidupan aku. In shaa ALLAH memang banyak yang aku nak kupaskan apabila bercerita tentang lesen memandu ni. Pertamanya, alhamdulillah, segala puji bagi ALLAH tuhan semesta alam. Syukur ke hadrat-Nya akhirnya semalam, pada tanggal 8 April 2015, aku lulus ujian memandu pada umur 26 tahun, dan dengan adanya nyawa dalam rahimku. 

ALLAH, ALLAH, ALLAH, rasa tak percaya dan nak menangis. Kenapa? Ok, untuk pengetahuan semua, ini adalah kali ke-5 aku menduduki ujian memandu ni. WHAT? Kali ke-5???!!! Ya, memang kalian tak salah baca, memang benar ini adalah kali kelima aku ambil ujian ni. Panjang ceritanya, memang panjang.

Baiklah, biar aku cuba cerita daripada awal ok? Tidak seperti kebanyakan ibu bapa lain, Mak dan Abah tidak menanggung yuran mengambil lesen ni. Jadi kami semua mesti kumpul duit sendiri untuk ambil lesen memandu. Tak salah aku, cuma abang sulung je yang Mak dan Abah taja yuran kelas memandunya. 

Kisahnya, aku ni seorang yang kuat mencari kerja. Lepas SPM, alhamdulillah aku dapat kerja di 7 Eleven. Aku memang suka kerja di situ, walaupun yang sebenarnya tak berapa bagus bekerja di situ sebab kita seolah-olah bersubahat menjual arak (di cawangan aku bekerja tu ada dijual arak). Yelah waktu tu aku pun jahil juga dalam isu ni, aku cuma fikir niat aku nak bekerja cari duit, nak beli apa-apa yang aku perlukan dengan gaji yang aku dapat tu.

Dengan gaji pertama aku, aku beli apa.... cuba teka? Telefon bimbitlah. Of course! Sony Walkman apa entah nama modelnya aku dah tak ingat. Aku guna Sony tu sampai habis diploma kalau tak salah. Dalam tiga tahun lebih macam tu. Bangga. Memang bangga dengan kerja kuat aku, aku beli telefon bimbit sendiri, menjadi orang pertama dalam rumah yang guna Sony semasa Nokia adalah jenama yang paling 'common' waktu tu. 

Aku bekerja di 7 Eleven selama dua bulan setengah, dan kemudiannya aku bekerja pula di Kenny Rogers Roasters di Ampang Point. Sebelum masuk ke kolej pada bulan Julai 2007, aku dah bekerja di dua tempat yang berbeza, dan dah tentulah gaji pun kalau dikumpul-kumpul, semestinya cukup untuk membayar yuran lesen memandu. Cuti semester biasanya dalam dua bulan, dan dalam masa tersebut aku senantiasa mencari kerja; kerani, tutor, buat kuih atau apa jua kerja, asalkan ada duit poket. Langsung tak pernah terfikir untuk mulakan proses nak ambil lesen memandu. Wallahualam, agaknya aku tak pernah rasa kepentingan memiliki lesen memandu pada masa tersebut, maka tiadalah aku lesen itu sehinggalah aku tamat pengajian di tahap diploma pada tahun 2010.

Tahun 2011, aku terbang ke New Zealand. Ada juga terfikir nak ambil lesen di sana. Umur dah 22, terasa jugalah yang bila lagi aku nak ada lesen kan? Umur makin meningkat ni. Setelah aku survey, kos mengambil lesen di sana pun mahal. Lagipun tahun pertama sampai di sana, ada banyak lagi nak buat selain ambil lesen. Nak berjalan ke sana ke mari, bayar sewa rumah yang mahal amat, serta segala alasan lain yang menyebabkan aku lupakan terus hasrat nak ambil lesen tu. Oh ye, salah satu lagi alasan termasuklah apabila orang ramai maklumkan pada aku yang negara Malaysia tidak mengktiraf lesen yang dibuat di luar negara. Macam tu pun ada. Maka terkuburlah isu lesen memandu begitu saja....

Hujung tahun 2011, aku balik Malaysia dan terus mendaftar di sekolah memandu. Kawan-kawan aku Yaya dan Atiqah mencadangkan agar ambil dengan Cikgu S*** (CS). CS ni cikgu Kemahiran Hidup semasa kami di Sekolah Kebangsaan Ampang dulu. Dia turut menjadi tenaga pengajar (instructor) di sekolah memandu Surfine. Aku pun ikutkan saja memandangkan aku kenal cikgu ni, dan membayangkan segalanya akan jadi lebih mudah sebab dia bekas cikgu aku. 

Ya, sama seperti kalian juga, aku pergi ke ceramah selama enam jam yang boleh tahan bosannya, dengan aku tak ada geng langsung sebab rata-ratanya semua adalah pelajar lepasan SPM yang berada di sekeliling aku. Tak ada pilihan. Aku terpaksa lalui semua ni. Ceramah adalah pada bulan Disember. Bulan Januari aku dah mula belajar memandu dengan CS. Terus-terang, leceh juga nak atur jadual dengan CS sebab pagi hari dia di sekolah, dan kebiasaannya ada pula mesyuarat lepas sekolah. Selalu juga aku tunggu CS berjam-jam di rumah sebelum kami memulakan kelas memandu. 

Aku sendiri tak pasti sama ada aku ni yang tak pandai atau cara CS ajar yang kebanyakan masanya menganggap aku dah tahu banyak benda pasal memandu ni. Walhal aku tak ada ilmu langsung huiii....

Dipendekkan cerita, tibalah harinya aku menduduki ujian memandu. Kali pertama. Amirul pada masa tersebut mungkin cuti semester, jadi dia teman aku ke Sekolah Memandu Surfine di Hulu Langat. Ujian pertama, aku lulus bahagian bukit, gagal di bahagian parking, lulus three-point-turn, dan gagal di jalan raya. Pegawai (lelaki India) sebenarnya dah nak bagi aku lulus semasa di jalan raya, tapi aku buat kesalahan mandatori yakni melanggar lampu isyarat merah. Aku betul-betul tak perasan lampu merah sebab ada beberapa lampu lain di situ. 'Selamatlah' aku.... Tak dapek nak nolong....

Sedih, menangis apabila dimarahi Amirul. Siapa yang nak gagal, kan? Kecewa, dah tentunya! Kehidupan diteruskan lagi, CS minta bayaran untuk daftar ujian seterusnya. Yelah, nak tak nak mesti nak kena lulus betul? Satu perkara yang aku perasan, CS tak pernah minta bayaran untuk kelas tambahan. Tapi aku pun tak berapa ingat berapa jam kelas tambahan yang aku buat dengannya. Cuma, CS akan menelefon dan bertanya kalau aku nak ikut serta berlatih sebelum ujian jika dia pun ada murid lain yang nak dia latih pada hari yang sama. Dah semestinya aku nak ikut atas dasar aku sedar dan jelas akan kemampuan dan tahap pemanduan aku pada masa itu.

Ujian kedua. Aku dah tak ingat dengan bahagian 2 dan 3 (dalam litar), tapi aku ingat yang aku gagal di bahagian jalan raya. Yang paling memilukan, aku belum keluar pun dari sekolah untuk ke jalan raya, terus aku gagal. Apa yang terjadi? Aku terlalu gugup, terlupa dan keliru dengan segala 'signal', lampu depan....kesemuanyalah. Terus pegawai (perempuan Melayu) kata, "Gagal ye. Pusing balik." Menangis lagi... Sob sob sob.

Ujian ketiga. Aku positif kali ni. In shaa ALLAH lulus. Ujian inipun aku dah tak ingat tentang ujian di litar. Dah lulus atau belum. Mungkin dah lulus. Aku cuma ingat ujian jalan raya je. Kali ini lebih baik, jauh aku memandu. Namun kereta mati enjin sebanyak tiga kali, tapi mungkin pegawai bagi muka sebab aku dah ulang untuk kali yang ketiga. Aku pandu sampai masuk semula ke sekolah. Sikit lagi nak sampai ke titik permulaan, tiba-tiba enjin kereta mati, dan aku terus hilang kawalan apabila kereta sekejap maju sekejap mengundur, dan terkeluar daripada jalan tar. Kereta terjatuh ke kawasan bahu jalan yang berumput. Pegawai (perempuan Melayu) kata, "Gagal ya".

Aku pun dah tak tahu nak rasa apa pada waktu itu. Apa yang susah sangat ni? Kenapa setelah tiga kali, masih gagal? Tak ada dalam keluarga aku yang ambil lesen sampai tiga kali woi!! Aduhai... Sudah hujung bulan Februari, aku kena bersedia untuk balik ke New Zealand. Dah tak ada masa lagi untuk buat ujian keempat. 

Aku buat post-mortem sendiri. Aku simpulkan yang aku sebenarnya secara teknikalnya memang belum betul-betul bersedia untuk memandu. Sehingga ujian ketiga aku masih tidak arif mengawal 'clutch' dan minyak sampaikan empat kali jumlah keseluruhan kereta mati enjin. Untuk bahagian bukit pula, aku masih ingat setiap kali latihan dan semasa ujian pertama, 'performance' aku tak lancar. Tak pandai mengawal brek, 'clutch' dan minyak. Enjin menghasilkan bunyi yang menyakitkan telinga, dan apabila menuruni bukit, laju tak terkawal. Kalau ada orang berhampiran, maunya aku terlanggar orang tu. Membahayakan cara aku memandu tu. Itulah kesimpulannya. 

Aku sedar aku tak selayaknya menyalahkan sesiapa, benda dah nak jadi kan? Cuma, aku rasa CS punya teknik pengajaran memang tak berapa memuaskan. Masakan tidak? Kenapa sampai tiga kali aku masih gagal dan tak bersedia? Namun demikian, aku tidaklah menyalahkan CS 100%. Pastinya ada salah daripada pihak aku juga. Mungkin fikiran aku tak dapat nak fokus sebab tarikh aku pulang ke New Zealand semakin menghampiri sewaktu aku menduduki ujian memandu tu. Terlalu banyak yang bermain di fikiran. Akibatnya, gagallah sebanyak tiga kali berturut-turut. Apapun, ALLAH lah yang sudah merancang semua ini dan aku yakin dah tentu ada hikmah disebalik apa yang telah berlaku. Meskipun pahit, aku mesti telan. 

Tamatlah kisah aku mengambil lesen kereta bahagian 1. 

Kita sambung bahagian 2 dalam 'post' yang seterusnya ok? In shaa ALLAH.

Assalamualaikum,

Love, 
Nusaybah.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Working Experience Part 4: Intern Journalist at NSTP

Lesen Memandu Bahagian 5: Gagal sekali tak bermakna gagal selamanya