Anak oh Anak: Ingat Senang Ke?


Usai sesi akad nikah di Masjid Jami'lhuda Ampang, Selangor.

Setelah tujuh tahun bercinta, alhamdulillah akhirnya aku dan pilihan hatiku, Muhammad Amirul Azreen selamat diijabkabulkan pada 29 Disember 2013. Tarikh asal majlis kami sepatutnya adalah pada bulan Januari 2014. Namun aku berjaya mempengaruhi bakal mak mertuaku ketika itu untuk mempercepatkan majlis kepada bulan 12 2013 supaya kami berdua masih berumur 24 tahun semasa bernikah. Boleh tak? Hehehe. Yelah, di Malaysia kita tak ikut bulan kelahiran, tapi tahun, kan? Jadi, aku saja jelah, dah alang-alang boleh kahwin pada umur 24 tahun, kenapa nak tangguhkan kepada umur 25 tahun, ye tak? :D


Sebelum aku fokus kepada tajuk di atas, aku nak selitkan beberapa perkara yang aku rasa ada baiknya aku kongsi di sini. Pertamanya, aku tidaklah berbangga dengan tempoh percintaan aku dan Amirul yang selama tujuh tahun tu. Maksud aku di sini, yelah kita semua tahu ber 'couple' itu haram, biarlah macam mana pun kita nak pertahankan pendapat kita. Kalian dah besar, dan sendiri pun dah baca pasal halal haram bercinta ni kan? Jadi lu pikirlah sendiri! Dalam kes aku, banyak kali kami nak berhenti berhubung, dan bersetuju untuk cari satu sama lain bila dah sampai waktu nak kahwin je. Tapi kebanyakan masanya kaedah ini tak menjadi sebab kami berdua dah sama-sama terlajak berjiwang-jiwang dan senang cerita buat-buat rasa tak ada apa-apa walhal tahu itu semua berdosa. Nauzubillah. Tak baik macam tu kan? Semoga ALLAH ampunkan kami berdua, amin... 

Keduanya, bercinta ini adalah satu pembaziran yang besar. Manakan tidak? Dah bercinta tu mestilah nak pergi makan sama-sama, belanja hadiah itu ini, pergi buat aktiviti itu ini, topup banyak-banyak untuk berborak, betul? Aku ada juga catat perbelanjaan kami semasa bercinta, tapi kadang-kadang jelah. Aku yakin dalam masa tujuh tahun tu, hampir RM5 ribu agaknya habis. Mungkin tak cecah jumlah itu, tapi tak tahulah kalau lebih... Yelah, makan di restoran mahal-mahal, belanja barangan berjenama, pergi dating di tempat orang kaya... Astaghfirullah al azim... Membazir-membazir...

Ketiganya, bercinta ini sangatlah digalakkan dan disukai oleh syaitan. Apabila berdua-duaan, kita mungkin tak sedar jenis-jenis zina yang kita dah lakukan. Ada zina mata, zina mulut, zina hati, dan berbagai-bagai kesalahan lagi. Dosa sudahlah banyak, ditambah lagi dengan dosa semasa bercinta. Mestilah bertimbun-timbun dosa kami kumpul selama tujuh tahun yaALLAH...ampunilah kami berdua. Alhamdulillah, syukur kepada-Nya kami diijabkabulkan. Jika tidak... (kalian habiskan sendiri ayat ini).

Tuntasnya, kalau yang masih bersih tak terjebak lagi dengan masalah ini, ada baiknya elakkan saja. Jiwa pastinya lebih tenang, dan boleh simpan duit yang orang lain habiskan untuk bercinta kepada perbelanjaan majlis perkahwinan nanti. Hehehe. Paling hebat adalah dengan membelanjakan wang untuk mak ayah, ahli keluarga atau sedekahkan kepada yang memerlukan. In shaa ALLAH itulah yang terbaik.   

Baiklah, 'post' ini bukanlah bertujuan nak cerita tentang majlis perkahwinan atau kisah percintaan kami yang langsung tak perlu diagung-agungkan itu. Tapi, in shaa ALLAH aku nak kongsikan rentetan usaha kami suami isteri untuk mendapatkan anak. 

Tarikh-tarikh penting:
29.12.2013 : Nikah dan kenduri

30.12.2013 - 2.1.2014 : Hari keluarga belah abah di Port Dickson
3.1.2014 - 10.1.2014 : Amirul menduduki final exam
25.1.2014 - 8.2.2014 : Umrah ziarah Turki
28.2.2014 : Aku balik Wellington
5.4.2014 - 10.4.2014 : Amirul datang Wellington
7.6.2014 : Aku balik Malaysia
23.6.2014 - 28.6.2014 : Koh Phi Phi dan Phuket
29.6.2014 : 1 Ramadhan
20.7.2014 : Mula praktikum di MRSM Balik Pulau
12.9.2014 - 20.9.2014: Cuti pertengahan penggal sekolah
3.10.2014 : Sakit perut yang amat sangat
22.10.2014 : Tamat sesi praktikum
29.10.2014 : Haid seperti biasa
November : Haid datang lewat
8.12.2014 : Buat ujian air kencing di rumah

Lumrah kehidupan manusia, apabila sudah selamat bernikah, mestilah nak menimang cahaya mata pula kan? Bagi kami berdua ada banyak perkara nak difikirkan sebelum nak fokus pada "membuat" anak. Semasa bernikah, kami masing-masing belum habis belajar. Gatai nak kahwin. Hehe. Masing-masing masih ada lagi satu semester. Oleh itu, ada baiknya kalau kami habiskan pengajian dulu, barulah boleh nak fikir pasal anak. Justeru, kami ada juga mengambil langkah berjaga-jaga semasa melakukan hubungan intim supaya tidaklah kami terkejut atau kelam-kabut nanti. (sungguhpun begitu, kalau ALLAH nak kurniakan rezeki, pastilah kami terima dengan sangat-sangat gembira).

Menurut tarikh-tarikh penting di atas, selepas nikah kami memang sibuk dengan macam-macam urusan termasuklah Amirul nak final exam, dan persiapan untuk menunaikan umrah. Kami langsung tak fokus pasal nak buat anak (yang lebih tepatnya, masih lagi bingung dan kekurangan ilmu dalam hal hubungan intim suami isteri ni). Pendek kata, kami memang tak bersungguh-sungguh sangat sehinggalah aku balik Wellington pada hari terakhir bulan Februari. 


Dah alang-alang cakap pasal haid dan hubungan intim ni, aku nak bagi tips dan peringatan sikit. Pastikan kalian dah cek tarikh datang bulan sebelum nak pergi berjalan-jalan dengan suami, a.k.a honeymoon. Kalau tak, rugilah betul? Pengalaman aku berkaitan hal ni adalah semasa mengikuti pakej umrah ziarah Turki pada tahun lepas. Kami nikah pada hujung Disember. Awal bulan Januari Amirul ada final exam, minggu kedua bulan Februari Amirul dah akan masuk semester baru. Oleh yang demikian, pilihan tarikh agak terhad untuk kami berdua. Kalau nak pergi cepat, visa masih belum siap. Kalau lambat, Amirul dah nak masuk belajar pada 17 Februari nanti. Tarikh terbaik yang ada adalah pada 25 Januari - 8 Februari. Menurut kalendar haid aku, empat hari di Turki nanti aku akan berada dalam keadaan haid, dan in shaa ALLAH dah boleh mandi wajib setibanya di Madinah. Alhamdulillah memang aku berpeluang solat dan beribadat di masjid Nabi sebab dah mandi wajib. Itupun banyak kali juga mandi wajib sebab belum habis bersih lagi. Apabila menuju Mekah, aku dah suci 100% daripada haid. 

'Point' aku, sayanglah kalau pergi honeymoon tapi kita ni datang bulan kan? Apatah lagi kalau nak melaksanakan ibadah umrah. Setahu aku kalau datang haid, seseorang wanita masih boleh lakukan umrah, tapi ada syarat-syaratnya. Pada pendapat aku, rugilah kalau nak kena lakukan umrah bersyarat ni kan? Rasa tak lengkap, betul? Melainkan kalau betul-betul ada masalah kesihatan lain yang tak boleh dielakkan. Tapi kalau buat umrah bersyarat disebabkan haid, memang sayang... Jadi ingat ye? Sebaik-baiknya, elakkan memilih tarikh yang datang haid apabila merancang percutian jika kalian pergi bercuti dengan suami, dan jika hendak menunaikan ibadah umrah. Ok?


Kembali semula kepada kisah nak dapatkan anak tadi. Ok, kami macam acuh tak acuh sangat sehinggalah aku balik Wellington. Lepas tu Amirul datang Welly pada bulan April. Seingat aku, aku tak cek pun kitaran haid. Nasiblah aku tak haid semasa Amirul di sana. Hahaha. Pung pang pung pang, aku balik Malaysia pada bulan Jun. Kami bersetuju untuk beri lebih perhatian tentang usaha menimang anak ni. Masing-masing mula membaca dan mencari maklumat sikit-sikit tentang hubungan intim, bla bla bla. Baca je, fahamnya tidak.

Sudahlah tak berapa banyak ilmu, masa bersama pun terhad sebab dah masuk bulan puasa. Hujung bulan Julai aku dah mula praktikum, berjauhan lagi. Cabaran dan dugaan. Sejak balik dari Welly sehinggalah honeymoon di Thailand, kami dah banyak mencuba... Namun, nampaknya belum berhasil apa-apa lagi. Tak apa, ALLAH pasti akan bagi rezeki pada hamba-Nya yang berusaha. Kena teruskan usaha jelah. Baca lagi, berdoa banyak-banyak, solat dhuha, solat sunat, solat hajat, solat taubat... Ikhtiar apa jua cara yang termampu untuk dilakukan.

WomanLog application
Sehinggalah bulan Ogos, rasanya pada waktu inilah aku benar-benar memahami konsep "waktu subur" seorang wanita. Memang dan banyak baca sebelum ni, tapi aku tak berapa faham pun yang sebenarnya. Walaupun dah tanya adik-beradik, tetap tak faham. Nak tanya lebih-lebih aku segan. Setelah faham, dan berpandukan aplikasi telefon pintar bernama "WomanLog", aku dah tahu bila masanya aku subur dan sesuai untuk merancang. Aku kongsikan hal ini dengan Amirul. Kepada yang tak faham pasal waktu subur ni, aku cadangkan supaya kalian 'install' aplikasi ni. Ia akan bagitau waktu subur kalian dengan tepat in shaa ALLAH :)

Pada bulan September ada cuti pertengahan semester selama seminggu. Alhamdulillah kena dengan waktu subur aku. Jadi kami usaha dan ikhtiar pada masa ini dan berdoa agar kali ini menjadi. Tup tup, dah bulan Oktober. Aku sakit perut yang amat pada tanggal tiga hari bulan tu sampai terpaksa pergi ke klinik. Pelik juga sebab aku ni bukan jenis kena 'period pain', dan aku tak datang bulan pun waktu tu. Itu yang peliknya. Akhirnya doktor bagi ubat tahan sakit je. 

Aku datang haid seperti biasa pada hujung bulan Oktober. Sedihlah kan... maksudnya tak ada rezeki lagi. Masuk bulan November, haid datang lewat. Aku tak berharap sangat. Mungkin lambat sehari dua je kot. Apabila dah masuk seminggu, Amirul akan tanya pada aku setiap hari apabila pulang dari kerja, "Period tak hari ni?" Aku geleng. Ada juga dia tersasul, "Mengandung tak hari ni?" Hahaha apa daaa...

Aku maklumkan pada mak dan kakak tentang ini. Mereka nasihatkan agar tunggu hingga kitaran haid seterusnya kalau tak datang bulan juga baru buat pemeriksaan. Mula-mula aku dan Amirul ambil nasihat tu. Tapi dah masuk minggu ketiga, kami sepakat untuk beli Urine Pregnancy Test (UPT) atas dasar tak nak berasa lebih kecewa apabila dah tunggu lama-lama, tapi tidak hamil. 
Inilah jenama UPT yang kami beli


Kami cari UPT di Guardian. Ada macam-macam jenis UPT ni, semurah RM5 ke semahal RM100 pun ada. Kami beli yang namanya Dip N Tell, berharga RM11.40. Daripada pembacaan di internet, katanya waktu terbaik untuk melakukan ujian ini adalah pada waktu subuh atau dengan menggunakan air kencing pertama anda pada hari tersebut. Seperti biasa, aku bangun untuk solat subuh, dan mula buat ujian ni. Berdebar-debar melihat keputusan ujian ni. Tak sampai seminit, dah ada dua garisan pada kertas ujian tersebut (tak payahlah tunjuk keputusan tu kan? Macam geli je. Hahaha).

Agaknya masih mamai, aku macam ye tak ye je. Tapi dalam hati ada taman. Hehehe. Aku ambil wuduk, masuk semula ke bilik dan kejut Amirul untuk siap solat subuh. Amirul bangun menuju ke bilik air, lepas tu patah balik masuk bilik dan tanya aku, "Dah buat dah?" Aku diam je sambil merenung kertas ujian tadi. Amirul turut tengok kertas tu. "Em? Positif eh?" Aku pandang Amirul,  "Emm". Amirul baring semula di katil sambil tutup muka. "Eh, apahal macam tu?" Tanya aku. "Malu," balasnya. Hahaha. Mengada je suami aku ni.

Kami tak peluk tak apa sebab aku ada wuduk waktu tu. Paling penting, kami tak mahu terlalu teruja sebab masih terlalu awal untuk gembira berlebih-lebih. Sabar dulu. Usai solat kami berdoa agar keputusan ujian tadi tepat bermakna aku benar-benar hamil. 

Phew.... panjang betul 'post' kali ini ye? Macam-macam perkara aku tulis, hehe. Merujuk kepada tajuk 'post' ni, "Ingat Senang Ke?" Haaaa, sekarang faham tak, kalian ingat senang ke nak dapat anak? Anak ini rezeki, rezeki ini rahsia ALLAH SWT. Ada orang yang senang je mengandung, bunting pelamin katanya. Ada yang macam aku, lambat sikit. Ada yang bertahun-tahun, malah berpuluh tahun dah kahwin, tapi tidak dikurniakan rezeki anak lagi. Walau apa jua situasinya, sebagai umat Islam kita kena percaya dan yakin dengan rezeki ALLAH, dan iringi keyakinan itu dengan usaha. Kalau tak ada rezeki anak, pastinya ALLAH curahkan dengan rezeki kekayaan, kesihatan, pekerjaan yang baik, kawan-kawan yang baik, dan pelbagai macam rezeki lain lagi. Betul? Justeru, yakinlah dengan ALLAH SWT. In shaa ALLAH, semuanya akan baik-baik saja, amin...

Oklah, aku nak tamatkan 'post' kali ini di sini. Panjang bebenor dah ha. 'Post' akan datang aku akan sambung dengan kisah kami ke klinik swasta untuk buat pemeriksaan dan 'scan' yang pertama. In shaa ALLAH. 

Love,
Nusaybah.

Comments

Popular posts from this blog

Working Experience Part 4: Intern Journalist at NSTP

Lesen Memandu Bahagian 1: Gagal

Lesen Memandu Bahagian 5: Gagal sekali tak bermakna gagal selamanya